Saturday, November 15, 2014

Gadis Bertudung Biru

Angin dari bumi gersang ini sedang bertiup laju. Langit membiru tanpa awan. Suara kanak-kanak arab riang yang sedang bermain jelas kedengaran. Tak semua dapat difahaminya. Dia, si gadis bertudung biru labuh masih di situ. Berdiri keseorangan sambil melihat jam biru ditangan. Menunggu seseorang, sahabat baik barangkali.

                Memori lalu bertandang. Memori yang banyak membawa suka duka dalam hidup gadis itu. Memori di zaman sekolah. Sekolah yang gah bukan hanya pada nama, juga pada tarbiyyahnya. Senyuman terukir seketika dibibirnya. Teringat si gadis itu tentang sebuah persoalan yang dulu selalu berlegar-legar dibenaknya. 

                “Mengapa perlu bertudung labuh?”

                “Mengapa aku pakai? Orang lain tak pakai pun tudung labuh”

                Tetapi hari ini, dialah gadis yang memakai tudung itu. Dialah gadis yang akan berusaha mempertahankan tudung itu. Dialah gadis yang sangat sayangkan tudung itu. Mungkin ada yang tidak mengerti, yang tidak faham tentang tudung itu. Hanya dia, si gadis bertudung biru itu punya jawapan.

                Mungkin dari kecil dia sudah terbiasa memakainya, namun jauh disudut hatinya, bukan ikhlas yang bertandang, tetapi hanya sekadar memenuhi suruhan ibu tercinta. Menjejakkan kaki di bumi tarbiyyah itu semakin mengajar dia makna disebalik tudung itu. Dia tahu ramai saja sahabat-sahabatnya yang hanya memakai tudung itu di waktu persekolahan, selepas itu, bertukar tudung. Pernah juga gadis itu diketawakan oleh orang sekeliling kerana tudung itu.

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An Nur:31)

Fitrah bergaya itu ada pada setiap perempuan. Apatah lagi seorang gadis sepertinya. Andai setiap orang faham, nescaya keinginan dunia pasti diketepikan. Gadis itu yakin ‘pahitnya perjuangan kerana manisnya syurga’. Perjuangannya mempertahankan maruah dirinya.  

Biarlah dia menjadi seorang gadis yang tak dipandang dan tak memandang. Yang tak disedari ketika dia ada, tak disedari juga ketika tiada.

---bersambung andai punya waktu dan idea---

No comments:

Post a Comment