Wednesday, January 20, 2016

"Apakah yang lebih kuat....?"

Tarmizi dan Ahmad merekodkan satu hadith yang menyatakan ketika Allah menjadikan bumi, ia pun bergegar. Kemudian Allah menciptakan gunung. Kekuatan yang diberikan kepada gunung itu menyebabkan bumi terdiam. Hal ini menghairankan para malaikat sehingga mereka bertanya kepada Allah, "Wahai Tuhan kami, adakah terdapat dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung?" Allah menjawab, "Ada iaitu besi." Kita maklum gunung batu menjadi rata apabila digerudi dan dihancurkan oleh jentolak ataupun kenderaan sejenisnya yang diperbuat daripada besi.

Para malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah terdapat dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi?" Allah menjawab, "Ada iaitu api." Kita maklum besi serta keluli cair dan mendidih selepas dibakar dengan bara api.

Para malaikat terus bertanya, "Wahai Tuhan kami, adakah terdapat dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api?" Allah menjawab, "Ada iaitu air". Kita maklum api yang membara sebesar mana pun akan padam apabila disiram dengan air.

Para malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah terdapat dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada air?" Allah yang Maha Bijaksana menjawab, "Ada iaitu angin." Kita maklum air di lautan luas serta-merta terangkat, bergulung gulung dan menjadi gelombang besar yang dahsyat lalu menghempas batu, kapal besar, dan perahu yang sedang berlayar terumbang ambing akibat kekuatan angin. Angin memiliki kekuatan yang amat dahsyat.

Para malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah terdapat dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada semua itu?"

 

Allah menjawab, "Ada iaitu anak Adam yang memberi sedekah dengan tangan kanan sementara tangan kirinya tidak memgetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanan".


Daripada buku Indahnya Kematian oleh Bisri M. Djaelani







No comments:

Post a Comment